Friday, August 20, 2010

Pekung Dr M Terpelohong Satu Persatu

Kata orang ada sebabnya jikalau kita diberi peluang oleh Allah supaya hidup lebih lama walau usia sudah mencecah 90. Allah mahu kita menginsafi diri dan bertaubat atas segala kejahatan yang telah kita lakukan semasa muda. Banyakkan ibadat sebagai bekalan selepas mati. Maka itulah juga barangkali kehendak Allah buat Dr M. Namun boleh jadi peringatan ini tidak diendahkan oleh Dr M. Maka dengan sebab itulah barangkali Allah menimpakan aib yang berterusan ke atas Dr M agar dia cepat sedar dan menginsafi akan perbuatan lampaunya. Apakah dia aib yang dimaksudkan dan tidak diambil ikhtibar oleh Dr M?

Pertama adalah kisahnya yang peminum arak telah terbongkar secara tak sengaja ketika PRK Hulu Selangor. Zaid Ibrahim calon PR yang telah diasak dengan tohmahan kaki arak secara jujur telah mengaku dan ia dilakukan ketika bersama Umno dahulu. Kini dia telah insaf dan bertaubat. Namun yang menariknya apabila Zaid secara sinis berkata kadar arak yang diminumnya adalah sebagaimana yang diminum oleh Dr M. Nyatalah kini bahawa meminum arak memang menjadi amalan Dr M yang pernah berkata Malaysia adalah sebuah negara Islam. Inikah amalan yang digalakkan menjadi amalan oleh orang Islam di dalam sebuah negara Islam?

Kisah kedua pula terkeluar dari mulutnya sendiri. Sewaktu Najib bercita-cita nak meluluskan lesen judi bolasepak Piala Dunia 2010 rakyat bangkit menolak tindakan terkutuk ini. Maka akhirnya kelulusan yang pada mulanya diberi kepada Tauke Judi Vincent Tan telah ditarik semula tetapi dihebahkan dengan istilah yang lebih molek dibatalkan. Yang menariknya disebalik kehangatan isu judi bola ini tidak semena-mena Dr M membuat kenyataan bahawa jika dia masih menerajui Malaysia nescaya dia akan luluskan lesen judi bola tersebut. Nah! Sudah terang lagi bersuluh apabila seorang manusia yang mengaku Islam gila dengan judi dan sanggup meluluskannya untuk dinikmati oleh rakyat Malaysia yang kununnya sebuah negara Islam.

Terkini Dr M mengecam PAS kerana bekerjasama dengan DAP. Apa nak dihairankan jika PAS mampu bersatu dengan DAP atas nama keadilan dan ketelusan di bawah payung Pakatan Rakyat. UMNO juga bekerjasama dengan MCA dalam Barisan Nasional. PAS dikatakan tidak ikhlas berkawan dengan DAP demi untuk mendapat sokongan orang Cina. Itu tuduhan Dr M tapi dia perlu ingat kerjasama UMNO dengan MCA juga bukankah demi mendapat sokongan orang Cina kepada BN? Namun lebih teruk lagi bila kerjasama mereka itu hanyalah kepura-puraan sahaja apabila Dr M secara terang memberi sokongan kepada PERKASA yang bersifat perkauman Melayu dan memusuhi kaum Cina. Yang mana lebih baik? Dr M lupa agaknya kerjasama Melayu dan Cina telah dimulakan oleh pihak BN terlebih dahulu dan menemui kegagalan bila tauke-tauke Cina dan pembesar-pembesar Melayu asyik nak memenuhi tembolok masing-masing hingga melupakan mereka yang di bawah.

Nampak gayanya apa sahaja yang keluar dari mulut Dr M atau sebarang info dari orang lain hanya menjatuhkan martabat dia sahaja. Tidak lebih dari itu. Sebaiknya Dr M berhenti dari menyibuk soal politik dan lebih memberi tumpuan kepada soal ibadah yang pasti memberi jaminan kepadanya selepas mati nanti.

No comments:

Post a Comment